Pemilik

My photo
Hidup kadang-kala terlalu absurd untuk diraikan.
Showing posts with label serabut. Show all posts
Showing posts with label serabut. Show all posts

Thursday, July 12, 2012

Terperangkap dalam ruang kebisuan.


Lewat kebelakangan ini, hidup aku seolah-olah dilitupi sesuatu yang berlegar-legar di udara keberadaan aku tanpa rela yang memasung aku menjadi orang paling lemah dan terjelupuk pada rasa ketakutan yang maksima. Makin lama, ada sesuatu yang makin kelam dan hilang. Yang lebih melelahkan, aku makin lumpuh kata-kata, yang menjadikan aku bisu dan pekak; malah tuli untuk menggerakkan satu hal yang harus aku sudahkan. Untuk sekarang, aku mahu lekas sembuh dan kembali terbang bebas di udara tanpa ditempangkan apa-apa.

Dan untuk itu, sama ada aku perlukan ruang yang lebih luas,
 atau terus mati bersama emosi yang kian terkubur.

Wednesday, June 13, 2012

Masih.

Satu,
Hilang rasa.

Dua,
Hilang percaya,

Tiga,
Masih begini.

Empat,
Masih kuat.

Lima,
Biarkan.



Masih lemas terkapai-kapai menyelam gerak hati yang hampir 
mati.

Thursday, April 5, 2012

Hati yang mengecil.

Sama ada aku yang sendirian melayan perasaan atau ada sesuatu yang tidak kena dengan emosi yang sedang melayang di hati aku saat ini. Sesungguhnya, rasa yang paling menyebalkan ialah apabila hati kamu secara tiba-tiba mengecil dengan setiap orang di sekeliling tanpa sebarang sebab.

I hate this feeling.

Thursday, March 15, 2012

Kesan paling tajam.

Hari itu adalah hari yang panjang lain dari kebiasaan. Minda dan tubuh aku seolah-olah disuntik sukrosa yang berlebihan menyebabkan ada perilaku hiper yang kurang kawalan. Menjalani rutin biasa dengan menyunting bahan-bahan berita adalah tanggungjawab insani juga rezeki yang harus aku kerjakan buat isian perut di hujung bulan nanti. Hari itu, hari yang paling sebal aku kira, selain tahap sukrosa yang seolah-olah menggila, aku juga terbeban dek energi tubuh yang digunakan enam hari tanpa henti. Penat dan sedikit hilang. Suntingan yang harus disudahkan aku segerakan agar bebanan otak tidak terus ditujah keras apatah lagi aku sebenarnya sudah sedikit muak dengan rutin harian yang kini seolah-olah menjadi kepingan hidup yang sedikit kosong. Dengan hati-hati yang penuh berhati-hati, kerjaan dibereskan seperti kebiasaan. Syukur ia siap. Hati senyum-senyum dan malamnya lekas-lekas aku keluar dari kepungan yang menyesakkan selepas enam hari terkurung dengan kerelaan. Bebas dan minda langsung menjadi ringan tanpa bebanan.

Esoknya, ada panggilan yang sedikit menjatuhkan. Sedikit terkilan. Seringkali berhati-hati pun belum tentu ia sempurna. Dan diakui, aku hilang fokus. Musibatnya, aku menambah satu lagi pelajaran dalam hidup untuk belajar dari kesalahan yang dilakukan. Moga ia menjadi kesan paling tajam buat manusia seperti aku yang sentiasa hilang dalam keramaian.

Monday, January 30, 2012

Terasa kehilangan.

Kalau esok harinya masih punya peneman buat jiwa yang sepi, itu maknanya aku sedang bermain-main dengan mimpi. Kalau esok harinya menjadi hari paling kosong dan menyebalkan, itu maknanya ada realiti yang harus aku hadapkan. Hari ini bakal menjadi hari yang panjang merentasi hari-hari yang bakal dilewati. Aku harus kuat, aku harus kental. Ini rasanya pahit, hakikatnya kelat. Pada setiap saat waktu sendirian nanti, aku pohon agar ada yang sudi memberi aku sedikit rasa untuk meledak tawa. Ruang masa sedang mula berasak-asak menujal hati, dan aku mulai terasa kehilangan, yang amat.

Tuesday, January 24, 2012

Secebis warna pelangi

Dalam setiap satu warnanya, ada meriah untuk kita.
Kalau semalam awan masih mendung dan dingin kekal beraja di pembaringan; walau pelangi masih tidak menjelma mengeliling keberadaan aku; juga masih tiada sirna buat aku terusan menopeng senyuman walau hanya segaris, kurang-kurangnya berikan aku secebis warna pelangi untuk kemeriahan di hari yang bakal aku lewati nanti-nanti.

Thursday, January 12, 2012

Langit mendung.

Meniti hari-hari yang masih berbaki ini, aku seolah-olah dikejar anjing jalanan, lantas aku lari laju tanpa henti malah tidak punya masa walau sesaat untuk peluh yang merembes dikesat. Dan saat aku sudah hilang kabur di pandangan si anjing jalanan, aku mulai jalan perlahan, lelah dan mula menghargai peluh yang menitis dengan kesatan lirih berserta degupan yang mengiringi ketakutan. Langit mendung dan aku terpengaruh.

Semalam adalah puncak pada sebuah kehampaan yang membangkitkan kekecewaan, nanarnya perit dan terhiris. Dalam ruang masa yang semakin terhimpit, ada satu hal yang membuatkan emosi aku terganggu dan meninggalkan kesan yang pedih. Untuk apa yang akan terjadi atau apa sahaja usaha yang aku lakukan pun, berangkali ia kekal tidak akan merubah apa-apa. Dan, aku harus berpijak pada realis yang sedang bergerak dalam tempoh yang kata mereka; masih berbaki tiga minggu.
Kau tahu kawan, berada dalam ruang masa yang semakin mengejar dan menghimpit ini satu penyeksaan yang menyakitkan, malah kalau makin sesak di fikiran, ia boleh memuntahkan lahar yang panasnya membahang. Lebih peritnya lagi pabila mengenangkan apa yang akan terjadi pada hari-hari yang bakal aku lewati, tanpa mereka yang sering memenuhi kotak tawa aku sepanjang hampir setahun di sini.

Jika benar mereka mahu pergi, aku harus kuat dan mengiringi dengan senyuman walau pahitnya bakal aku telan bersama sakit yang memeritkan. Kuatlah!

Wednesday, January 4, 2012

Manusia egois yang mahal air mata.

Menjalani kehidupan biasa dengan cara selesa pun belum tentu mampu memuaskan kepingan hati yang sering disakiti dek kesebalan sendiri. Namun itu bukan satu kekesalan yang perlu dicanang-canangkan, sedangkan ada lebih ramai lagi yang hidupnya lebih perit; yang lebih dari segala yang kita tidak pernah tahu, malah mungkin juga tidak mahu ambil tahu. Hidup memang takkan selalu dalam keberuntungan tapi takkan selalu juga dalam kemalangan. Kata seseorang, adakalanya hidup ini perlu juga menangis supaya kita sedar bahawa hidup ini bukan sekadar hanya untuk ketawa. Benar. Tapi manusia egois yang mahal air mata seperti aku ini mana kenal erti sebuah tangisan jika ia hanya semata-mata untuk satu pembaziran yang sia-sia. Namun kamu harus tahu, walau egoisnya aku untuk air mata yang selayaknya diluahkan, aku tidaklah punya jiwa yang kental untuk menepis segala permainan hati yang bahangnya sering dinyala-nyalakan. Untuk sebuah pengharapan, doa sering aku titipkan agar akan adanya sedikit kekuatan dapat ditiupkan untuk aku agar hati kekal mekar berbunga walau sakitnya memeritkan.

Tuesday, December 20, 2011

Hilang khayalan.

Seringnya untuk mendapatkan sesuatu yang memuaskan dan berhasil, ia pasti mengalami satu proses yang sulit apatah lagi tertunda-tunda. Saat ini, aku tidak tahu apa yang aku rungsingkan sehingga langsung tidak mampu untuk memulakan ia walau dengan sepatah kata pun. Segala nada yang pernah aku khayalkan sebelum ini langsung hilang di awangan dan nadi aku deras menggeletar memikirkan apa seterusnya. Lewat kebelakangan ini, serasanya aku kurang energi dan motivasi untuk terus hidup dalam tiupan semangat yang kekal. Ada rasa yang membungkam dan hilang tanpa sedar. Aku perlukan sesuatu untuk kembalikan khayalanku.

Tuesday, December 13, 2011

Hidup mesti terus.

Kertas-kertas kecil itu aku carik-carikkan dengan segala perasaan yang menyebalkan. Dari helaian yang besar, ia semakin mengecil dek rakusan jari-jari yang kadangkala tidak dapat dikawal emosinya. Selain menyembunyikan segala rahsia yang sedang membungkam di hati; yakni sudahpun tercoret di setiap helaian kertas tadi, ia juga adalah satu proses pembuangan rasa yang sedang mula mengganggu kelangsungan hidup. Di setiap helaian itu, tercoret segala macam perasaan celaka yang pernah membungkam. Aku coret, aku carik dan aku senyum. Senyum sebelum setiap kertas-kertas kecil hasil carikkan itu tadi aku kutip dan kumpul kemudiannya dibakar di dalam tong kecil di hujung sudut. Lebur.

Aku sedang meneruskan kehidupan sebaiknya.

Sunday, December 11, 2011

Rasa yang paling celaka.


Seperti yang pernah aku muntahkan di sini dahulu, aku ini orangnya paling sukar untuk jatuh percaya pada setiap kata ataupun perlakuan sesiapa pun. Walau segigih mana pun aku diyakinkan, hati aku paling tidak pun hanya mampu terusik sedikit, dan selebihnya lebih pada jatuh rasa ragu-ragu. Dan pabila saatnya aku terjatuh percaya lewat baru-baru ini, ia hampir memecahkan tembok keegoan sendiri dan memahat kepercayaan dek rasa yang sedang diyakini. Namun sayangnya, ia sebenarnya meninggalkan satu rasa yang sehingga saat ini mahu saja aku bunuh dan tanam dalam-dalam segala ingatan yang sedang mewah di fikiran. Tahukah kau kawan, ia adalah rasa yang paling celaka dan menyebalkan. Saat ini, aku dengar ada ketawa mengiringi kebebalan aku.

Friday, December 9, 2011

Dia tidak memandang aku sepenuhnya.

Hakikatnya, kuntuman bunga yang sedar mekar itu tidak mengambil masa yang lama untuk kembali layu. Hanya sekejapan cuma, hati mulai terguris dan harapan sebelumnya itu pecah berderai tanpa belas. Pabila berbicara soal siapa yang melebihi segalanya, nampaknya aku sudahpun tewas dan kalah. Jika benar akulah selayaknya, buktikan apa yang sedang indah tertanam. Namun, apa lagi yang selayaknya menjadi juara jika ia sentiasa melibatkan hal fizikal? Untuk berdiri sama tinggi apatah lagi duduk sama rendah, itu mudah tapi ia tak sama dengan duduknya kekal beraja di hati. Aku bukan siapa-siapa pun sebenarnya.

Sunday, December 4, 2011

Disember.

Ini sudah masuknya Disember. Masih awal bulan. Untuk hari-hari yang bakal dilewati, ia bakal menginjak ke penghujung Disember dan deras sekali kita akan kembali ke awal tahunnya di Januari. Sudah hampir beralih kalendar setahun dan berkalih pula pada permulaan setahun yang baru

Apa perkara terbaik yang kau lakukan sepanjang dua ribu sebelas ini ?
Lidah kelu. Hati menimbang tara akan beberapa hal; mengingati segala memori yang telah dilewati semusim yang lalu. 

Apa sahaja perkara terbaik yang boleh dijadikan mozek agung untuk masa depan?
Masih kelu. Hati tersentap. Akal berselirat. Emosi tidak keruan. 


Tiada?
Terus kelu.


Ada hal yang perlu diukur dan ditimbang tara. Jika setahunnya itu langsung tidak membuah apa-apa; bermakna aku adalah orang yang berada dalam kelompok merugikan. Hidup masih kekal begini. Tersangkut dek kepincangan emosi yang berpanjangan. Menyedihkan.

Disember, mohon panjangkan usia untuk aku lakukan sesuatu yang membahagiakan?
Jangan kau nak bermimpi dalam mimpi.

Friday, December 2, 2011

Ada hari-harinya.

Kadang-kadang, ada hari-harinya kita perlu simpan suara dan bersimpuh diam-diam di hujung-hujung ceruk sudut. Ada yang perlu disimpan dan tak semua harus diluah menjadi bahan kongsian bersama. Kita punya sifat ingin tahu yang kukuh namun belum tentu punya sifat kefahaman yang tinggi. Ada yang katanya; dia cukup memahami tentang segala hal yang diluahkan tapi sebenarnya dia hanya mampu menyedapkan rasa hati untuk kita ini bertenang. Syukur untuk itu. Tidak perlukan pelukan penenang namun kata-kata pembangkit semangat sudah cukup menyimpulkan sedikit senyuman. Bukan payah untuk berkongsi rasa, tapi ada hari-harinya; kita perlukan masa untuk diam dan bersendirian tanpa teman. Aku cuma perlukan orang yang lebih memahami sekiranya aku katakan; tiada apa yang perlu dikongsikan dari dipaksa meluah apa yang sedang terbuku. Sebagai kawan, aku hormati kamu jika permintaanku dihormati. Bukan tidak menghargai, tapi mengertilah; ada hari-harinya, hidup perlu juga berseorangan.

Betullah, aku ini jenis pendam rasa.

Sunday, November 20, 2011

Mudah.

Seharusnya aku perlu lebih awal mencerna tanda-tanda penolakan yang diberikan. Tapi aku dungu, bebal lagi menyedihkan. Ianya mudah dan terangan membentang. Samaada dia lupa ataupun tidak peka; ia tetap beri tanda bahawa aku bukan dalam lingkungan kesukaan ataupun kegemarannya. Luahkan saja seribu kali apa yang mahu diluahkan, jika ia kekal lupa dan tidak peka; bermakna seribu kali itu jugalah dia menyuruh kau diam dan jauh-jauh dari hidupnya. Putus harap? Emangnya riak wajah aku ini pelakon terbaik untuk memapar segala manisan palsu. Tapi riak di hati nampaknya langsung tak memihak pada aku. Hati, awak ni baik sangat. Tidakkah mahu sekali engkau berbohong?

Ketahuilah, jika seribu kali kau berkata perkara yang sama kepada seseorang itu, tapi seribu kali juga dia bertanya soalan yang sama; ini bermakna dia langsung tidak ambil peduli hal kita, malah sebenarnya kita ini langsung tidak dianggap istimewa buat dia. Mudah.

Thursday, November 17, 2011

Kiasan


Kadang-kadang, kita hanya memerlukan daya tangkas otak dan hati untuk memahami kejujuran orang lain melalui kiasan yang cuba mereka sampaikan. Mereka cuma cuba berlapik atas dasar menjaga sekeping hati yang lainnya dengan bahasa halus yang tersopan. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang punya hati rapuh dan menangkap apa yang tersirat. Namun, untung juga buat mereka si hati batu; barangkali hendak masuk ke telinga pun belum tentu jadi. Meniti hidup dua puluh empat ini, semegahnya aku masih seperti anak kecil yang hidupnya hanya riang dan menikmati ruang yang ada mengalahkan mereka yang di usia lima. Jujurnya, aku tidak tahu apa dan apa yang harus aku transformkan dari jujur menjadikan diri ini seperti aku sendiri selayaknya atau menjadi orang asing di sisi lainnya. Masih ada yang perlu aku amati dan faham perihal kehendak orang lain. Kita tidak tahu, sebenarnya barangkali kita mendatangkan mual atau kejengkelan bagi pihak yang lain. Barangkali juga, kita punya sikap ini terlalu anak kecil buat usia kita yang puluhan dan barangkali juga, kejujuran kita dalam menjadi diri sendiri itu belum cukup puas untuk orang lain suka. Bila dibilang, jadilah diri sendiri; itu hanya satu ungkapan mudah. Yang payahnya, kita ini hidupnya saling bergantungan dengan mereka-mereka di sekeliling yakni orang-orang yang sayang akan kita, orang yang kekal di samping kita dalam satu-satu masa yang kita tidak ketahui tamatnya bila. Jadi, pabila ada saja kiasan menyatakan ada yang tidak kena yang perlu kita ubah dan buang, jangan dikeraskan hati tapi cubalah fikir jika ia positif. Bukan masalah besar bukan? 

Dan untuk kedua kalinya, aku terhidu kiasan buat diri sendiri yang perlu aku tafsir dan ubah. Aku yakin, jika aku sungguh-sungguh menangkap kejujuran yang disampaikan secara halus dan terhormat itu, pasti lumayan jadinya buat aku. Ini bukan lagi perihal menjadi diri sendiri, tapi ini hal sikap yang perlu kita ubah.

Tuesday, November 15, 2011

Payah

Ini bukan pertama kalinya hal-hal sebegini berlangsung dalam hidupnya. Mungkin sudah berlaku untuk ke berapa kali dan untuk kalinya ini, ia kekal canggung dan langsung tak memberikan kesan. Ada saja hal yang tidak kena dan hatinya kekal beku, langsung tidak rapuh-rapuh. Apa lagi agaknya cara berkesan untuk memberikan dia satu rasa yang mengekalkan dan terkesan. Pabila ada yang menyuruhnya mencuba, dia sedikit tertekan dan kalut. Bukan langsung tidak mencuba, malah ini sudah masuk yang ke berapa kali percubaannya. Namun, ia masih kecundang sebelum bermulanya sisi mozek yang seterusnya. Payah.

Saturday, November 5, 2011

Rasa yang kau lukiskan.

Setiap rasa yang kau lukiskan di sini, di sini dan di sini sedang mekar harum di sini, di sini dan di sini. 
Namun sayangnya, setiap lukisan yang kau lakarkan, langsung tidak kau hargai sehingga tergamak ia terbiar sepi dan terbuang tepi. 
Jangan gusar sayang. 
Kini, setiap rasa yang kau lukiskan di sini, di sini dan di sini, aku padam perlahan-lahan dan buang jauh-jauh. 
Memang aku sakit, tapi lebih sakit jika ia kekal terlukis di sini, di sini dan di sini. 
Senyum.


Thursday, November 3, 2011

Hilang dalam ramai.

Dalam keramaian itu, terhimpunnya sekelompok manusia marhaen yang hidupnya berlatarkan pelangi yang warnanya sudah cukup mengimarahkan kegembiraan seisi alam. Mereka berbual riang seolah-olah dunia ini milik mereka sepenuhnya tanpa sedikit rasa bimbang akan hal yang tidak-tidak. Perihal apa sahaja diluah tanpa silu dan itu benar-benar terkesan buat aku. Keakraban mereka penuh dengan kemanisan yang membangkitkan sedikit rasa iri. Riak wajah mereka sudah cukup menggambarkan segalanya. Dalam keramaian itu, aku hilang sungguh-sungguh. Lidah yang azalinya bebas bertutur apa sahaja jadi kelu dan untuk sekian kalinya. Lelah aku mencari ke arah mana ia pergi. Aku jadi orang asing. Asing di tengah-tengah kebahagiaan mereka-mereka yang aku irikan. Ada sesuatu yang berlaku, dan aku tidak tahu apa pokok pangkalnya. Saat aku rasa terasing, kekok dan menyedihkan, tiada siapa sudi hulur bantuan agar nafas yang tadinya tersekat kembali menjadi seperti kebiasaan. Aku cuba berada dalam situasi kebiasaan, tapi ia masih tampak canggung dan menyebalkan. Dan akhirnya, aku kekal hilang dalam ramai.