Beberapa minggu yang lalu, saya ada yakinkan diri sendiri untuk kembali giat menulis di sini. Perihal apa-apa pun yang mungkin terlintas atau yang mahu dikongsi. Saya benar-benar mahu menulis perihal apa-apa pun. Perihal bumi yang kekeringan air, perihal pesawat yang hilang, perihal teman yang menjauh, perihal hati yang dibaja, perihal laki-laki yang memarahi sang isteri di jalanan, perihal puisi yang menjadi seni murahan, waima perihal kerungsingan memikir makanan apa yang hendak dimakan hampir setiap hari. Tapi sayangnya, nihil. Tidak berhasil apa-apa. Saya masih lagi dilanda masalah berkongsi, tidak seperti dahulu yang lebih agresif dan penuh keterujaan juga kecintaan. Saya masih tidak boleh lena di waktu malam (kadang-kadang, malah lebih baik dari dahulu), sama seperti dahulu. Masih juga sekarang. Namun gara-gara laptop usang saya sudah tidak mahu berbakti, selain telefon pintar yang sentiasa minta diganti baterinya, saya jadi tawar hati untuk menulis (di sini). Malah, biarpun punya ruang untuk mencuri masa menulis di pejabat, masalah lain pula timbul bila idea pula tidak mahu meluncur dengan baik. Saya rasa terbeban. Saya mahu menulis lagi. Tapi saya rasa alasan-alasan sepele seperti ini tak pernah langsung mahu beralah pergi. Sebelum akhirnya saya temui jawapan kenapa saya sudah tidak yakin mahu menulis (di sini), barangkali saya sudah punya seseorang yang terlalu peduli akan saya, sehingga saya takut untuk berkongsi apa-apa. Juga, barangkali kerna saya sudah tidak perlu lagi untuk menulis di sini selain hanya di buku-buku kecil yang entah bila akan penuh.
Hai, selain tidak mampu menulis, kata ganti nama diri juga sudah mula bertukar. Saya kira, saya benar-benar mengalami sesi 'tandus kata-kata' yang gering.
Selamat berhujung minggu!
4 comments:
saya juga pernah rasa perkara yang sama,kenapa ya kita akan melalui fasa itu dalam usaha menulis?aku masih tak ada jawapan konkrit.
Selamat berhujung minggu juga !
@manusiaekstinsi - saya selalu mengalami fasa sebegini. Berkali-kali. Tapi tidak terlalu lama begini. Saya letih. Saya mahu nulis, tapi saya terbeban bila sudah mula mengetuk papan kekunci. Barangkali, saya harus tulis apa saja yang terlintas tanpa perlu 'terlalu berhati-hati'.
terima kasih kerana meninggalkan komentar :)
kenapa harus berhati-hati. teruskan. aku mahu membacamu lagi.
:)
Kiranya kita faham mengapa dulu Fynn Jamal pernah berkata, "Aku lapar agoni".
Kita telah menjadikan agoni sebagai katalis kita dalam penulisan sedari awalnya, jadi bila agoni sudah pergi, kita ketandusan kata-kata.
p/s : sy bukan pengidola FJ, tp kali ini katanya ada kebenarannya.
Post a Comment