Pemilik

My photo
Hidup kadang-kala terlalu absurd untuk diraikan.

Friday, February 14, 2014

Senja jadi saksi.


Entah bila, tempat tinggi dan aku tidak pernah serasi. Perjalanan selama lebih kurang 50 minit ke Utara itu benar-benar meresahkan. Selepas kejadian pesawat bergelut dengan angin kuat sewaktu pulang dari Vietnam tahun lalu menyebabkan hubungan aku dengan pesawat semakin dingin. Malah, hampir saja aku berkeputusan untuk pergi dan pulang menaiki kereta api atau pun bas. Nampaknya keterujaan menaiki kereta api selama 28 jam (pergi dan pulang) ke Aonang seminggu sebelumnya masih bersisa. Awal tahun, sudah aku nukilkan beberapa senarai hal-hal baru yang mungkin boleh aku lakukan bagi menambah satu lagi pencapaian dalam hidup. Mungkin tiada yang menarik bagi yang lain. Tapi bagi homosapiens yang hidupnya lebih banyak gagal dari menerima ucap tahniah, mungkin permulaan tahun ini sudah aku lorekkan dua pengalaman mahal yang pastinya entahkan akan ada lagi ataupun tidak.

Saranan teman menyuruh aku membeli pil tidur bagi melawan keresahan di udara aku ketepikan. Peluh yang menitik dan debaran setiap kali pesawat bergoncang melawan angin benar-benar meresahkan. Malah, hingar suara penumpang yang lain persis mengejek aku yang mematung di kerusi. Walhal, ini bukan pertama kali aku di udara, sudah terlalu lebih. Namun, aku tidak pernah suka merasai suasananya.

Akhirnya Pantai Chenang jadi saksi. Entah apa yang merasuk membuatkan aku nekad untuk melawan keresahan di udara. Di waktu matari mulai terburu-buru menciumi senja, sosok tubuh yang dilahirkan pengecut dengan ketinggian sudah dibawa angin dan terbang berserta senyuman. Betapa ketinggian itu bukanlah sesuatu yang menakutkan, malah ia lebih dari sebuah keindahan yang tak terucap. Permulaan tahun yang indah. Tingkat keberanian dengan ketinggian nampaknya semakin serasi.

2 comments:

ewanthology said...

ke Aonang menaiki keretapi? Aonang kat krabi tu kan?

fuh, jauhh tu... macam bercuti di dalam keretapi :-)

hanaahmad said...

@ewanthology
ya, Aonang di Krabi. 14jam ke Hatyai menaiki kereta api dan 6 jam ke Aonang menaiki van. Perjalanan yang panjang tapi mahal. Harus cuba :)