Terima kasih 2016. Tahun terindah buat saya. Setahun sudah bergelar isteri, 2016 juga detik pertama saya memegang tugas berat menjadi seorang ibu kepada Orked Maryam. Semoga bahagia untuk kita semua.
Monday, January 2, 2017
1.
Saya tidak ingat untuk ke berapa purnama sudah saya tinggalkan laman ini gara-gara terlalu sibuk merencana hal-hal indah bersama keluarga. Untuk beberapa kali, pernah saya cuba-cuba untuk kembali semula ke sini, namun kita hanya merancang, aturannya tetap gagal malah akhirnya saya langsung lupa bahawasanya lelaki yang saya kahwini sekarang ini jua adalah orang yang saya temui menerusi medium ini. Ibarat kacang lupakan kulit, maka saya kembali sekali lagi di sini (ntah untuk berapa lama mampu bertahan). Doakan moga-moga kerajinan terus mengiringi saya untuk kembali menulis di sini secara konsisten, sekurang-kurangnya bukan sekadar untuk berkongsi cerita, malah berbagi rasa tentang dunia yang sedang saya jalani.
Wednesday, November 11, 2015
Perasaan 10 tahun terdahulu.
Kali terakhir saya berdepan perasaan dikhianati dan disakiti sahabat barangkali dalam sembilan ke sepuluh tahun yang terdahulu. Setelah sekian lama saya terlupa akan rasa itu, ia kembali merosakkan segala momen-momen yang pernah ada. Memikirkan saya bukanlah orang yang terpilih untuk terus menetap, makanya saya memilih untuk menyisih. Biarlah saya dikecam atau dilihat serong, asalkan
saya tidak lagi menjadi orang terasing yang tidak dipeduli.
saya tidak lagi menjadi orang terasing yang tidak dipeduli.
Monday, September 21, 2015
Restu teman.
Cuba memahami apa puncanya yang menyebabkan ada teman tidak menyenangi perkahwinan yang saya raikan. Barangkali, saya tidak berhak untuk berbahagia, ataupun teman itu yang tidak betah melihat orang lain berbahagia. Berdoalah semoga lekas lembut hati. Kerana sungguh saya berasa terluka dan bersedih diancam seolah-olah saya melakukan jenayah yang berat.
Friday, August 14, 2015
Ke Pulau Dewata bersama cinta.
2. Suami mengalami pengalaman yang menyedihkan sewaktu di Uluwatu, tempat wisata berlangsungnya tarian kecak. Sebelumnya, sudah terpapar di blog-blog yang saya baca memaklumkan bahawa monyet-monyet di sini teramatlah nakalnya. Kerana terlalu gembira, sewaktu leka mengambar gambar, kepala saya terasa berat, sepantas kilat saya lihat seekor monyet sudah melarikan diri. Selang beberapa saat, terdengar jeritan pelancong sekeliling 'spek, spek!'. Suamiku meraba mukanya, rupanya cermin matanya yang tidak sampai sebulan menjadi hak milik sudah lenyap dirampas 'sang hanuman'. Sepanjang tarian kecak berlangsung, saya menjadi mata-mata buat sang suami yang rabun.
4. Kami terlalu takjub. Sepertinya kami sudah mengelilingi sebuah negara. Dari pantai, gunung, lautan, tasik, bandar dan kampung, Bali terlalu indah untuk diterokai. Ya, mata kami kenyang dijamu kecantikan alam yang sukar untuk lupus dari kotak ingatan. Namun sedikit kecewa kerana terlalu banyak tempat langka yang tidak sempat kami jejaki. Wisata-wisata yang sempat kami lalui hanyalah lokasi tumpuan yang biasa dikunjungi pelancong. Sepertinya, kami seperti berkira-kira untuk kemBali semula ke Pulau Dewata ini, nanti-nanti.
5. Selain mengalami momen romantis bulan madu bersama selepas hampir dua bulan bernikah, kami tidak melepaskan peluang ke toko buku di sekitar Bali. Utamanya, kerana kami mahu mendapatkan buku terbaik karya penulis sana yang harganya lebih murah berbanding yang dijual di Malaysia. Hasilnya, dari dua juta yang kami berencana mahu laburkan, akhirnya ditambah lagi satu juta, hanya untuk buku sahaja.
6. Dari setiap toko ke toko, kami mencari lukisan pemandangan buat dibawa pulang dan dibingkaikan di rumah kosong kami. Kami nyaris membeli di Pasar Ubud, yang harganya tiga kali ganda mahal berbanding di tempat lain. Malah, penjual-penjualnya juga terlalu kasar dan setiap pertanyaan kami berkaitan harga, pasti kami ditekan untuk terus membeli. Kami ambil keputusan untuk bergerak lekas dan tidak lagi membuka mulut bertanyakan harga. Kerana tidak mahu terburu-buru kami berkeputusan untuk membeli di hari terakhir. Akhirnya kami menjumpai lukisan pemandangan yang harganya agak masuk akal di pintu masuk Tanah Lot.
7. Gara-gara debu gunung merapi Raung yang meletus beberapa minggu sebelum kami ke Bali, beberapa jadual penerbangan terganggu, salah satu harinya adalah sehari sebelum kami berangkat pulang. Kesannya, lapangan terbang sesak dengan penumpang yang terkandas. Terperangkap agak lama di laluan pendaftaran bagasi, ditambah dengan masalah perut saya yang memulas kerana terlebih menikmati sambal Bali (yang enak ya) menyebabkan kami hampir tertinggal pesawat pulang ke Malaysia. Saya sudah tidak peduli dengan lautan manusia di balai berlepas bila saya nekad berlari sederas yang mungkin ke arah pintu 10 yang jaraknya hampir 10 minit berjalan kaki. Bila ke depan, baru saya menyedari suami saya masih jauh ke belakang.
Thursday, July 30, 2015
Setelah aku memanggilmu, suamiku.
Aku masih lagi menekunimu sama seperti saat pertama kali aku bersetuju menyebutmu kekasih.
Hari itu aku belajar, kamu tidak pernah menyisir rambutmu sejak ia mulai ikal.
Esoknya aku melihat kamu asingkan bawang dan tauge di dalam pinggan makanmu, malah sebelum aku menyebutmu suami, aku sudah tahu kamu cuma akan minum air sesudah selesai menyudahkan juadahmu.
Dan sehingga saat ini, aku sentiasa melihat sabarmu yang selalu ada setiap kali aku hilang arah marah-marah dan membawa rajuk.
Aku sedang, masih setia menekunimu, suami.
Biarpun untuk 1000 tahun lagi.
Wednesday, April 15, 2015
Bila yang kau rasa, cumalah kekecewaan.
Jadi, bentuk apakah lagi yang harus kau pamerkan bilamana rasa kecewa itu tidak lebih seperti nasi yang kau makan saban hari dan sebagai dadah yang paling mengenyangkan. Yang cuma kau mampu buat, bersabar, bertahan dan terus kuat, semoga kau tidak lagi merasai kekecewaan tanpa henti biarpun kau sendiri tahu, ia cumalah dugaan kecil yang Tuhan jatuhkan buat kau yang kadang-kala adalah orang yang paling tidak tahu bersyukur. Maka, siap-sedialah kerna nanti-nanti mungkin akan ada dugaan paling besar, yang bakal kau hadap dan hadam.
Semoga kuat, Hana.
Semoga kuat, Hana.
Sunday, March 22, 2015
Doa petang untuk orang jauh.
Panggilan-panggilan asing di lewat tengah malam, di waktu pagi atau di masa-masa yang mengejutkan seringkali mendebarkan saya. Hospital sudah menjadi rumah kedua buat orang tua yang jauh di tanah kelahiran. Saya sering tidak senang duduk. Hati saya kerap dijengah kerisauan. Perasaan berbelah bagi bergulir dengan rasa bimbang yang menujal tanpa henti. Petang ini, sekali lagi saya dimaklumkan yang ayah dibawa ke hospital, atas sakit yang menyerang. Bermula penghujung tahun lalu sehinggalah kini, kehilangan adalah kata-kata yang tidak pernah saya sukai.
Ingatan.
Saya cemburu. Kehidupan saya tidak sama seperti yang lain. Keluarga saya tidak seperti keluarga yang lain. Perjalanan hidup juga tidak seperti yang lain. Apatah lagi, saya juga tidak mempunyai kebolehan dan kebijaksanaan seperti orang lain. Melihat orang lain berlumba-lumba memenuhi kota fikir fiksyen dan imajinasi mereka dengan buku-buku berintelek tinggi, saya cumalah seorang manusia pemalas yang mempunyai daya penghadaman terhadap buku-buku ringan yang biasa-biasa, malah langsung menyamai kualiti hampir rendah. Biarpun sering saya merasai buku yang saya baca sudah cukup bagus, namun rupanya saya hanya berasa seronok sendiri, sedangkan pembaca yang lain sudah hampir melaju menuju fasa pemikiran yang paling tinggi.
Jadi siapalah saya untuk menjadi pengkritik bahan bacaan dan karya orang lain, walhal saya sendiri pun masih kosong dan tepu.
Jadi siapalah saya untuk menjadi pengkritik bahan bacaan dan karya orang lain, walhal saya sendiri pun masih kosong dan tepu.
Friday, March 20, 2015
Tidak mahu peduli (ii)
Sampai satu masa, dalam berpuluh kawan yang kau yang ada, barangkali cuma ada dua tiga yang benar-benar sentiasa peduli dan faham tentang apa yang sedang kau lalui. Yang lain barangkali hanyalah kawanmu yang dipanggil secara literal.
Tuesday, March 17, 2015
Tidak mahu peduli.
Saya terfikir, adakah kita harus merasuki pemikiran orang lain hanya kerna kita terlalu berasa agung dengan prinsip hidup sendiri yang sebenarnya cumalah konyol dan tidak masuk akal. Jikalau tidak, barangkali kita perlu belajar saling hormat prinsip orang lain, sepertimana kita mahu prinsip kita turut dihormati. Mudah, tapi masih lagi rumit. Ya kan?
Monday, February 23, 2015
Tentang hal-hal yang tidak selesai.
Barangkali saya perlu simpan sahaja segala tanda tanya dan persoalan yang semakin menujal-nujal otak saya, walhal persoalan itu tidak seharusnya wujud, kerna ia hanya perlu dikongsi tanpa perlu adanya tanda tanya.
Iya, rumit.
Iya, rumit.
Friday, February 13, 2015
Februari
1. Saya terlupa saya ada ruang (di sini) yang semakin dilupakan bilamana kepala saya sentiasa resah bergulir tentang hal-hal masa hadapan.
2. Hari-hari saya semakin penuh dengan sesuatu yang baru, biarpun masih lagi berdepan rutin yang sama.
3. Kadang kala saya terlupa saya sudah menjadi tunangan orang dan bakal mempunyai pendamping hidup yang sah, dalam beberapa bulan lagi.
4. Menjelang hari-hari penting menjadikan saya semakin peka dan sensitif dengan suara-suara sumbang orang sekeliling, yang sebenarnya hanyalah kuman asing yang tersesat di kepala saya. Seringkali saya benamkan dalam-dalam bahawa sampai mati pun cakap-cakap orang itu adalah musuh paling utama. Saya cuma beranggapan barangkali mereka cuma cemburu.
5. Masih lagi menekuni laki-laki yang sama sejak setahun lebih yang dulu. Makin ditekuni, makin saya hilang punca apa di kepalanya. Dan kini, perasaan saya saat ini cumalah hanya mahu berkenalan dengan pemikiran si dia.
6. Memikirkan mahu menutup segala jenis akaun laman sosial melainkan satu dua yang merasakan perlu dan relevan selepas sah bergelar isteri.
7. Rupa-rupanya telinga saya sangat selesa dengan musik folk.
8. Saya lebih teruja mahu mengembara bersama kekasih hati dari melangsungkan majlis raja sehari. Barangkali menaiki kereta api lagi sekali.
9. Jarang menulis di sini bukti saya sudah ada telinga yang lebih setia dan baik walaupun kadang kala sering kali memaparkan wajah kurang mengerti.
10. Buku-buku langka masih lagi menjadi buruan saya dan kekasih, namun masih belum lagi mampu membayar buku Hamka dengan harga ratusan ringgit.
2. Hari-hari saya semakin penuh dengan sesuatu yang baru, biarpun masih lagi berdepan rutin yang sama.
3. Kadang kala saya terlupa saya sudah menjadi tunangan orang dan bakal mempunyai pendamping hidup yang sah, dalam beberapa bulan lagi.
4. Menjelang hari-hari penting menjadikan saya semakin peka dan sensitif dengan suara-suara sumbang orang sekeliling, yang sebenarnya hanyalah kuman asing yang tersesat di kepala saya. Seringkali saya benamkan dalam-dalam bahawa sampai mati pun cakap-cakap orang itu adalah musuh paling utama. Saya cuma beranggapan barangkali mereka cuma cemburu.
5. Masih lagi menekuni laki-laki yang sama sejak setahun lebih yang dulu. Makin ditekuni, makin saya hilang punca apa di kepalanya. Dan kini, perasaan saya saat ini cumalah hanya mahu berkenalan dengan pemikiran si dia.
6. Memikirkan mahu menutup segala jenis akaun laman sosial melainkan satu dua yang merasakan perlu dan relevan selepas sah bergelar isteri.
7. Rupa-rupanya telinga saya sangat selesa dengan musik folk.
8. Saya lebih teruja mahu mengembara bersama kekasih hati dari melangsungkan majlis raja sehari. Barangkali menaiki kereta api lagi sekali.
9. Jarang menulis di sini bukti saya sudah ada telinga yang lebih setia dan baik walaupun kadang kala sering kali memaparkan wajah kurang mengerti.
10. Buku-buku langka masih lagi menjadi buruan saya dan kekasih, namun masih belum lagi mampu membayar buku Hamka dengan harga ratusan ringgit.
Wednesday, December 31, 2014
Selamat kembali, Januari.
Seperti apakah lagi ucapan tahun baharu buat Malaysia yang sedang berduka. Barangkali sedikit semangat dan ingatan tentang masa depan yang entah apa duka dan bencana lagi akan menjengah. Semoga doa-doa bahagia yang kita kirim buat Tuhan tidak melekakan kita tentang ingatan --- hidup tidak selalunya indah. Juga, berdoalah ketika kita masih berbahagia, bukan hanya ketika dirundung duka.
Selamat kembali ke Januari, bersiap siagalah untuk kejutan yang baharu.
Thursday, October 16, 2014
Menari dalam hujan
Tidak pernah ku hitung,
seberapa banyakkah rindu
yang bermukim di dadamu.
Juga seperti apakah cinta
yang sedang merusuh
di daerah hatimu yang lengang.
Barangkali
rindu
cinta
sudah terlalu larut
atau basah
seperti hujan yang menitik tanpa silu
di senja yang merdu.
Sedang ku fikir
apa cara lagi untuk ku lunaskan
hutang rindumu yang terlalu,
keningku basah
disapa rintik yang pemalu.
Waktu itu,
sepertinya aku cuma mahu
mengajaknya menari dalam hujan.
seberapa banyakkah rindu
yang bermukim di dadamu.
Juga seperti apakah cinta
yang sedang merusuh
di daerah hatimu yang lengang.
Barangkali
rindu
cinta
sudah terlalu larut
atau basah
seperti hujan yang menitik tanpa silu
di senja yang merdu.
Sedang ku fikir
apa cara lagi untuk ku lunaskan
hutang rindumu yang terlalu,
keningku basah
disapa rintik yang pemalu.
Waktu itu,
sepertinya aku cuma mahu
mengajaknya menari dalam hujan.
Friday, September 19, 2014
Catatan yang tertinggal : Rumah kecil ibuku yang dahaga.
Rumah kecil ayahku dahagakan senyuman,
juga ledakan tawa anak-anak kecil yang dewasa,
Ruang tamu ibuku
sedang berbicara perihal kesunyian,
neon warna warni cuma topeng
pada sebuah rumah yang sepi,
Yang meriah cuma bingkai-bingkai
gambar berisi senyuman,
yang diawet setahun yang lalu,
juga tahun-tahun terdahulu.
Ibuku cuma ketawa dengan kenangan,
perihal dua anak lelakinya
yang diculik keluarga baru,
Sang ayah masih membisu,
paling sukar ditilik
apa yang sedang meruntun.
Entah untuk kali yang ke berapa,
lebaran rumah kecil itu cuma berisi
sang anak perempuan kecil
dan juga
sepasang tua yang hatinya
turut mengecil.
juga ledakan tawa anak-anak kecil yang dewasa,
Ruang tamu ibuku
sedang berbicara perihal kesunyian,
neon warna warni cuma topeng
pada sebuah rumah yang sepi,
Yang meriah cuma bingkai-bingkai
gambar berisi senyuman,
yang diawet setahun yang lalu,
juga tahun-tahun terdahulu.
Ibuku cuma ketawa dengan kenangan,
perihal dua anak lelakinya
yang diculik keluarga baru,
Sang ayah masih membisu,
paling sukar ditilik
apa yang sedang meruntun.
Entah untuk kali yang ke berapa,
lebaran rumah kecil itu cuma berisi
sang anak perempuan kecil
dan juga
sepasang tua yang hatinya
turut mengecil.
Ditulis pada malam Syawal yang lalu.
- adakah bakal berulang lagi pada malam AidilAdha nanti?
Sunday, August 3, 2014
Permulaan Augustus
Akhirnya saya memulai Augustus dengan hal-hal absurd, hal-hal yang gering dan hal-hal yang aneh. Pulang ke kota dengan iringan lagu rancak di radio, dan tubir mata yang basah juga hati yang gering. Saya mulai tidak selesa dengan keadaan yang makin lama makin tidak menyenangkan. Hati saya mulai berbagi akan banyak hal. Barangkali ini permulaan bagi dugaan kecil Tuhan untuk sebuah kehidupan akan datang. Saya mulai berasa terlalu penat, sehingga saya tidak mampu untuk berhenti tetapi saya cuma mahu berlari, jauh-jauh, ke sesuatu tempat yang asing, yang sekitarnya mampu membuatkan saya lupa yang saya sebenarnya masih punya hati. Tuhan, betapa seribu kekecewaan pun yang perlu saya telan, sekurangnya jadikan ia berakhir dengan indah.
Ada yang tak sempat tergambarkan oleh kata,
ketika kita berdua,
hanya aku yang bisa bertanya,
mungkinkah kau tahu jawabnya.
Malam jadi saksinya,
kita berdua di antara kata,
yang tak terucap,
berharap waktu membawa keberanian,
untuk datang membawa jawaban.
Mungkinkah kita,
ada kesempatan,
ucapkan janji takkan berpisah selamanya.
Sunday, June 29, 2014
#Dahaga
Ku teguk rindumu yang asing.
Entah cukup untuk hilangkan dahaga,
atau tak lebih untuk penuhkan sebuah pengharapan.
Entah cukup untuk hilangkan dahaga,
atau tak lebih untuk penuhkan sebuah pengharapan.
Thursday, June 26, 2014
Dua puluh dua juni yang tertinggal.
Dua puluh dua Juni bukanlah sesuatu yang istimewa lagi buat saya. Malah, kalau pun saya masih mengingati tarikh ini bukan bererti saya masih berada dalam dunia yang dahulu. Tarikh ini cuma mengingatkan saya perihal masa lalu yang pernah saya alami dan tempuhi. Kebetulan, dua puluh dua juga adalah angka yang tidak akan pernah mati dalam hidup saya. Jadi, dua puluh dua Juni adalah masa lalu yang tertinggal dan sudah pun bernokhtah dengan jayanya. Sekarang yang tinggal hanya dua puluh dua Januari dan dua puluh dua Agustus. Yang kedua-duanya saya akan pastikan terus hidup mekar semekar harum bunga musim semi.
Monday, June 9, 2014
Persoalan satu.
Barangkali saya bukan seorang kekasih romantis yang saban hari membasahi hati sang kekasih dengan kata-kata cinta, sayang, rindu. Malah, saya juga bukan kekasih tipikal yang suka keluar berdua-duaan di taman-taman bunga mahupun berjalan-jalan berpimpin tangan di pusat membeli-belah tanpa arah tuju dan kosong. Saya juga bukanlah kekasih yang harus ditelefon atau pun menelefon sang kekasih hampir setiap malam sebelum mencumbui waktu tidur sebagai ritual rasmi pasangan kekasih. Malah, saya juga bukan kekasih yang perlu dicintai hanya dengan pemberian bunga, hadiah-hadiah mahal mahupun patung-patung berbulu yang mengjengkelkan. Saya cuma kekasih yang mudah. Dan saya suka bagaimana saya dikasih-sayangkan oleh sang kekasih saat ini. Jadi untuk soalan; apa yang lebih hebat dari kata cinta, sayang?
Bukan apa yang lebih berharga dari kata cinta, sayang. Tapi bagaimana cara kita raikan cinta itu dengan cara kita tersendiri itu lebih berharga dan mahal dari berapa banyak ungkapan yang harus kita ungkap dalam sehari. Mungkin ini klise, tapi bukankah kualiti itu lebih baik dari kuantiti?
Wednesday, June 4, 2014
Paranoia
Saya adalah orang yang paling takut pabila orang yang sering/selalu mengungkapkan sayang, cinta, rindu itulah orang yang akan sering/selalu menyakitkan hati, membuat kita sedih dan meninggalkan kita tanpa bersalah. Kerna kehidupan itu sendiri tak lebih pada sebuah kehilangan.
Subscribe to:
Posts (Atom)
